Sunday, November 29, 2015

Info Buku: Tinggi Menggapai Syurga

بسم الله الرحمن الرحيم

Buku yang diidam-idamkan ini saya beli ketika jualan murah mycybersale.
Dibeli di web mphonline. Dengan diskaun 20% untuk semua buku dan penghantaran percuma mampu menyebabkan 'gila' untuk memborong buku-buku. Tapi apakan daya, duit belanja bulan itu dihabiskan untuk bayar yuran phD semester itu.
Pujuklah hati moga ada keberkatan bila berhabis duit untuk ilmu. InsyaAllah jika ada rezeki, boleh beli lagi banyak buku lain kali.

Dengan bajet bawah rm70, inilah antara buku yang dipilih.
Buku ini saya selesai membacanya dalam masa 2 malam. Alkisahnya, bila mengikut suami menginap di chalet di Lata Bayu selama 2 malam untuk program perkhemahan sekolah. Di sana tiada line internet, jadi banyaklah masa terluang.
Jika ada internet, mesti sudah dibawa laptop untuk menulis tesis. Tanpa internet, agak sukar untuk mencari bahan rujukan...huhu...
Masa yang ada di chalet banyak terluang, banyaklah terkenang baju-baju kotor yang boleh dibasuh dan dikemaskan jika berada dirumah. Teringat juga tesis yang boleh ditulis jika berada di rumah.

Jadi, masa yang terluang digunakan untuk membaca buku ini bersungguh-sungguh.
Penulis yang banyak menulis tentang isu-isu kewanitaan dan rumah tangga.
Buku ini banyak menimbulkan keinsafan dan memberi kesedaran tentang: 1. Kasih sayang dan ketaatan kepada suami kerana Allah Taala 2. Mendidik anak-anak dengan berhikmah 3. Batas aurat dan etika pemakaian wanita dalam Islam
4. Teladan dari kisah-kisah semasa dan kisah-kisah lampau. 5. Memahami cinta hakiki dan bukan hanya cinta nafsu sahaja. 6. Tips-tips yang berguna dalam kehidupan dan rumah tangga. 7. Jawapan-jawapan bagi permasalahan dan krisis rumahtangga.

Penulis juga menghidangkan ilmu dalam buku ini secara santai dengan membawakan kisah-kisah yang santai tetapi tersirat pengajaran disebaliknya.
Bagi saya, buku ini mampu memberi keinsafan kepada yang bergelar isteri dan ibu, menyemai kasih sayang kepada suami dan anak-anak.
Sangat disarankan kepada wanita samada yang sudah berumahtangga ataupun belum untuk membaca dan menghayati buku ini.




Tuesday, November 24, 2015

Mama, anak-anak & tesis

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri kali ini banyak kali saya cuba untuk tulis, tapi bila difikir dan dimuhasabah semula, apa tujuan aku menulis entri ini? Apakah manfaat entri ini kepada orang ramai? Saya klik butang 'x' dihujung kanan skrin laptop. Tidak jadi nak tulis.

Dan akibat bertangguh, mencari jawapan muhasabah diri, saya menjadi lupa kisah ini. Difikir-fikir apa kisah yang ingin dikongsi dan tak ingin dilupakan.

Jadi, saya fikir, jika entri ini tidak banyak manfaatnya kepada orang lain, biarlah ia ditulis untuk mengekalkan memori indah bersama anak-anak untuk dikenang-kenang pada masa hadapan.

Kisahnya begini.....

Suatu malam seperti malam-malam yang lain. Malam kami anak beranak sibuk dalam suasana ilmu. Anak-anak menyiapkan kerja sekolah mereka dan mama merenung laptop cuba merungkaikan persoalan-persoalan tesis.

Sambil mencari info untuk ditambah dalam tesis, sambil itu jugalah menolong anak-anak untuk menyelesaikan kerja sekolah. Menjawab soalan mereka jika ada yang tidak faham.

Adik selesai dulu menyiapkan kerja sekolah.

Adik: Kenapa mama buat bahas tak siap-siap? (Sambil cuba membaca tesis bahasa arab itu.) Mama tulis pasal apa?

Mama: Mama kena tulis banyak sebab tu tak siap lagi. Mama tulis cerita tentang Surah Luqman, jadi mama kena cari banyak bahan cerita untuk buat bahas, nanti sheikh mama tengok dan betulkan kalau ada salah, sebab tu tak siap lagi. (Saya cuba untuk menerangkan dalam bahasa yang mudah difaham oleh kanak-kanak).

Adik: Oooo... jadi kita tulis bahas ni macam kita tulis ceritalah?

Mama: Aah, tapi mama kena cari cerita yang betul, tak boleh cerita yang tipu. Sebab tu mama banyak cari dalam internet. Lepas tu tulis, lepas tu tunjuk kat sheikh, nanti sheikh habaq lah cerita mama tu betul ke tak.

Adik: Kalau macam tu senang jelah buat bahas, tulis cerita ja...

Abdullah nampak puas hati dengan jawapan dan kesimpulan yang dibuatnya sendiri. Moga mereka juga terus cintakan ilmu dan terus bersemangat untuk menuntut ilmu sepanjang hayat

Thursday, November 19, 2015

Pesan Sheikh Dr. Mustofa Dib Al-Bugho

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, anak2 berkesempatan untuk mendekati para sheikh dan ulamak lagi pada bulan lepas.

Kali ini bersama Sheikh Mustofa Dib AlBugho dari Syria. Seorang tokoh yang tinggi ilmunya dan banyak memberi manfaat kepada dunia Islam.

Di Kolej Universiti Insaniah
Sumber: FB KUIN


Siapa nampak Abd Rahman?
sumber: FB KUIN

Bersama orang dewasa

Sumber: FB KUIN

Abd.Rahman juga begitu bersungguh sungguh dan berusaha untuk mengikut baba menjadi penterjemah kepada sheikh.

Moga mereka terus membesar dalam mengidolakan, menghormati, memuliakan dan menyayangi para pewaris nabi.

Moga ada keberkatannya yang mengalir bila bersama orang soleh dan para ulamak. Amin.


Antara pesanan sheikh yang banyak diulang ulang.

Para penuntut ilmu agama mesti menuntut ilmu ke tahap yang paling tinggi. Tunjukkan bahawa penuntut itu tidak lekeh. Ada kekayaan, kemuliaan dan kemegahan.

Dahulu penuntut ilmu agama sering dipandang lekeh dan dipandang rendah, miskin, tiada masa hadapan dan macam macam lagi.


Kita mesti buktikan bahawa penuntut ilmu agama ini mampu berjaya di dunia dan juga di akhirat.


Pesanan yg amat memberi motivasi kepada diri ini dan moga ini juga berbekas dalam hati anak anak.

Thursday, November 12, 2015

Anak-anak tahu, ibu bapa tidak tahu

بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika anak-anak masih bayi dan kecil, kitalah sumber ilmu mereka, banyak yang mereka tahu melalui ibu bapa.

Namun, makin anak-anak membesar, dunia mereka lebih luas, mereka mempunyai lebih banyak sumber ilmu selain dari kita.

Sumber ilmu dari guru, kawan-kawan dan persekitaran.

Hingga sampai satu tahap ada ilmu yang anak-anak tahu sedangkan kita tidak tahu.

Itulah yang dapat saya rasakan bila anak-anak sudah makin besar.

Sebagai contoh gambar di bawah ini:

Teringat suatu masa dahulu, kitalah yang mengajar anak-anak origami dan kraf di rumah.

Kraf bintang di atas adalah hasil rekaan Abdul Rahman. Katanya belajar dari kawan di sekolah. Sempat lagi dia belajar origami bintang ini dari kawan di sekolah.

Jika tanya saya macammana nak buat, saya sendiri tidak tahu. Nampak macam rumit juga..huhu

Moga Allah sentiasa menambah ilmu kita semua, memberi ilmu yang bermanfaat dan memanfaatkan ilmu yang ada. Amin

Thursday, November 5, 2015

Nilai segulung PhD ?!

بسم الله الرحمن الرحيم

Pagi ini (saat entri ini ditulis, bukan saat entri ini dipublish) saya terbaca post ini di dalam Facebook.






Membuatkan diri ini muhasabah semula niat asal ingin membuat PhD.

Sebelum saya mendaftarkan diri untuk menyambung phD, saya meminta pandangan suami, keluarga dan mertua.

Abah kata:
"Buat lee..."

Mak dan ayah mertua pula sangat memberikan sokongan, siap bagi tunjuk ajar tolong isikan borang lagi

Saya juga memohon petunjuk dari Allah dan Solat Istikharah moga Allah tunjukkan jalan yang terbaik, InsyaALLAH.

Niat asal ingin membuat phD:

1- Ingin terus disiplin menelaah kitab-kitab.
Kerana kalau tidak menulis bahas, kurang sedikit aktiviti menelaah kitab.

Banyak membaca buku-buku yang disukai dalam Bahasa Malaysia sahaja. Kitab-kitab Bahasa Arab jarang dibuka bila tidak membuat tesis.

2- Ingin terus menambah ilmu, meneliti dan memahami ayat-ayat Al-Quran.

Oleh kerana MA dan PhD saya bawah Kuliah Usuluddin dalam bahagian Ilmu Al-Quran dan Tafsir, maka banyak kitab tafsir yang perlu dibaca, dibaca dan dibaca.


Makin banyak kitab tafsir yang dibaca, makin bertambah faham dan tadabbur Al-Quran.

Moga-moga makin bertambah ilmu.

3- Ingin memberi manfaat kepada masyarakat.

Harapan dan doa saya juga ketika awal mengisi borang pendaftaran phD, saya harap ilmu yang didapati sepanjang proses menulis tesis ini dapat dimanfaatkan kepada diri sendiri dan juga kepada masyarakat, InsyaAllah.


Namun jalan untuk menyiapkan tesis tidaklah mudah.

Bila kena reject.

Bila tiada idea.

Bila tiada masa.

Bila tiada tenaga.

Bila tiada mood.

=(

Sentiasa berdoa dan memohon doa agar dimudahkan segala urusan untuk menyiapkan tesis ini InsyaALLAH.

Moga ALLAH subhanahu wa taala menilai usaha ini di sisiNya dan tidak menjadikannya sia-sia sahaja di sisiNya.




Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah! 


Mohon pembaca blog ini juga turut mendoakan kami agar dimudahkan segala urusan dunia dan akhirat dan sentiasa dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

Amin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...