Friday, June 30, 2017

Jangan pergi ke dapur!

بسم الله الرحمن الرحيم

Antara natijah yang akan diterima apabila anak-anak memasak sendiri di dapur ialah dapur akan kotor dan berselerak lebih teruk dari kita yang menggunakannya.

Walaupun ia menggeramkan, namun ia adalah satu proses pembelajaran yang mesti dilalui.

Peraturannya mudah sahaja:
"Selepas selesai menggunakan dapur, mesti bersihkan semula. Sinki kena bersih, dapur mesti berkilat dan lantai mesti dibasuh."

Jadi, itulah yang dilakukan oleh anak-anak selepas mereka menggunakan dapur.

Mereka pernah membuat masakan sendiri seperti yang ditulis dalan entri di bawah ini:



Sepanjang mereka menggunakan dapur, sebolehnya cuba untuk minimumkan masuk ke dapur kecuali untuk memastikan keselamatan anak-anak di dapur sekali sekala.

Kalau tidak, akan membebel panjanglah melihat keadaan dapur yang berselerakan.

Tepung di atas kabinet.

Sinki penuh dengan pinggan mangkuk dan peralatan masakan yang mereka gunakan.

Lantai yang basah dan kotor.

Tapi, semuanya mereka akan selesaikan selepas mereka sudah selesai memasak.

Dapur akan dilap.

Semua peralatan dalam sinki akan dibasuh dan disimpan semula.

Lantai akan dicuci dan dimop.

Walaupun adakalanya agak tidak bersih dan sempurna, namun cubalah untuk pejam sebelah mata. Mereka sudah berusaha membersihkannya sebaik mungkin.

Kita semua mempunyai memori tentang masakan dan makanan bersama keluarga ketika kecil dulu. 

Mak masak ketam masak merah dan pelbagai masakan yang sedap.
 Membuat kuih raya bersama saudara di kampung. Membuat pelbagai masakan kegemaran kita.

Biarlah anak-anak mencipta pula memori indah mereka untuk dikenang dan diingati ketika dewasa nanti.

Semoga Allah redha.

Tuesday, June 27, 2017

Jadual hafazan anak di rumah

بسم الله الرحمن الرحيم


Antara soalan yang seringkali diterima ialah:
"Bagaimana menyusun jadual harian dan hafazan anak di rumah?"

Sebenarnya menyusun jadual hafazan dan harian anak di rumah berbeza dari tahun dan umur.

Malahan apabila hafazan mereka kian bertambah pun, jadual hafazan dan harian di rumah juga berbeza.

Alhamdulillah, syukur dengan adanya blog ini perkembangan anak-anak dan perubahan jadual harian dan hafazan mereka ada dicatatkan dalam blog ini.
Berikut adalah entri yang terdapat maklumat tentang jadual anak-anak:

1. Ketika anak-anak masih kecil, mendidik mereka mula mengenal dan menghafaz Alquran, ini jadualnya:

2. Ketika anak-anak baru mula dengan alam persekolahan, inilah jadualnya:

3. Ketika cuti sekolah:

4. Sekarang:

Jadual ini berubah-rubah mengikut suasana persekitaran anak-anak, masa pembelajaran dan juga bilangan hafazan.

Masa bermain tetap ada agar tetap gembira

Untuk sekarang, hafazan anak-anak sudah semakin banyak.

Abdul Rahman 21 juz

Abdullah 12 juz.

Banyak difokus kepada ulangan hafazan agar ia lekat kukuh di dalam dada.

Mereka mengulang 20 mukasurat hafazan lama setiap hari.

Tambahan hafazan baru pula hanya 5 baris setiap hari.

Semoga perkongsian ini mempunyai manfaat kepada masyarakat.

Amin.

Saturday, June 24, 2017

Gambaran anak-anak di masa hadapan

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam perjalanan ke kenduri di Kodiang.

"Agak-agaknya, nanti bila kami besaq nanti, muka kami macam mama ke macam baba?" Abdullah memulakan topik baru.

"Abang rasa mesti muka kita macam baba bila dah besaq nanti." Abang Abbudey menjawab.

"Mama selalu bayangkan nanti bila anak-anak dah besaq, jadi orang berilmu, banyak ilmu agama, tapi tak sombong takabbur. Bagi kuliah serata dunia, Qatar, Kuwait...... tapi tak bermegah-megah. Berakhlak mulia. berpendidikan tinggi. Bertaqwa. Jujur. Tawadhuk. Jauh dari fitnah. Tidak leka dengan urusan dunia.."

Itulah gambaran yang sering dibayangkan.

"Berhujjah dengan AL-Quran dan hadis dan bukan dengan logik akal sahaja." Abdullah menambah dengan muka penuh keyakinan. Sebenarnya dia mengulang semula ayat yang disebut oleh baba dalam kuliah Maghrib semalam. Memang dia seronok mengulang ayat itu berkali-kali sejak pulang dari Kuliah Maghrib semalam.

Kami ketawa kerana gaya Abdullah yang kelakar itu


Tajuk ini juga seperti kiriman emel dari Puan Lina Karim yang diterima beberapa hari yang lalu:


"Tajuk kita kali ini adalah "Cuba bayangkan anak kita dalam keadaan mereka sudah dewasa". Pejam mata... cuba bayangkan. Boleh? Cuba bayangkan bentuk fizikalnya - rupa parasnya, ketinggiannya, senyumnya. Juga cuba bayangkan apa keadaannya, lepasan ijazah, master, pusat tahfiz? Apa kerjayanya?
 
Ramai ibu yang punya dilema bagaimana mahu membayangkan. Lebih-lebih lagi, jika ketika ini usaha yang dicurahkan dalam membentuk dan mendidik anak tidaklah seberapa. Akan rasa bersalah mahu membayangkan yang indah-indah. Semua ibubapa pasti, mahu anak mereka berjaya dunia dan akhirat, tetapi tidak pasti bagaimanakah caranya. 
 
Kadang-kadang, apa yang kita perlu adalah perkongsian orang lain dalam membesarkan anak mereka. Bagaimana mereka mengharungi liku-liku kehidupan tetapi masih mampu mendidik anak mereka. Kadang-kadang, dengan hanya mendengar cerita orang lain ....ia akan memberi idea dan inspirasi. Dengan hanya mendengar cerita orang lain ...ia akan memberi semangat dan motivasi untuk memulakan sesuatu pada anak-anak kita. Bukankah tujuan kita semua sama? Iaitu anak berjaya dunia akhirat.

Ada ibu yang telah melalui semuanya. Kesemua anaknya adalah penghafaz al Quran dan juga bekerjaya hebat. Apa rahsianya?   
 
Itulah tujuan saya mengadakan Quranic Masterplan dengan 3 orang ibu bercerita tentang cara

1. menyusun perancangan pendidikan anak mereka
2. mengurus anak dan diri sendiri dalam kesibukkan mendidik 
3. Memberi ilmu dunia dalam masa yang sama fokus pada dunia akhirat.
4. Apakah cabaran atau halangan dari keluarga dan masyarakat
5. Halangan ibu bekerjaya dalam mendidik anak dan lain-lain"


Allah tunjukkanlah kami jalan yang benar.

Amin.

Friday, June 23, 2017

Ramadhan 1438H yang indah

بسم الله الرحمن الرحيم

Ramadhan kini berbaki 2 hari sahaja lagi.

MasyaALLAH.. Ramadhan kali ini banyak bezanya.

Antara beza paling ketara ialah Solat Terawih dengan kehadiran Ahmad Zaid.

Rasanya macam lama sangat tak pergi Solat Terawih di masjid.

Tahun lepas Ahmad Zaid masih bayi sangat. Tak sampai 1 tahun. Tak sesuai untuk dibawa menunaikan Solat Terawih di Masjid.

Tahun sebelumnya, keletihan mengandung ditambah dengan tugasan kerja sekolah anak-anak, jadi jarang dapat menunaikan Solat Terawih di Masjid.

Ramadhan tahun ni Ahmad Zaid dah 1 tahun 7 bulan. 

Kami cuba-cuba untuk bawa Ahmad Zaid sama-sama menunaikan Solat Terawih di Masjid.

Walaupun sudah selalu membawa Ahmad Zaid ke masjid untuk Solat Fardhu dan Kuliah Maghrib, namun tempoh untuk Solat Terawih beserta dengan tazkirah agak lama. Selalunya habis pukul 10.30 malam. 

Suka sangatlah Ahmad Zaid kalau dipakaikan begini
dan dibawa ke masjid

Ditambah lagi ketika kita sedang solat, pergerakan kita terhad untuk memujuk anak-anak berbanding jika sedang mendengar tazkirah.


Balik rumah, makan minum, khidmat diri...akhirnya hampir pukul 1 barulah bertemu dengan bantal. Moga ia dikira sebagai ibadah Ramadhan jua


Alhamdulillah hampir setiap malam kami sekeluarga bersama-sama menunaikan Solat Terawih di Masjid yang berbeza-beza sekitar Kedah, Perak dan Penang mengikut jadual terawih dan tazkirah baba.

Alhamdulillah Ahmad Zaid dijaga oleh abang-abangnya sepanjang tempoh solat. 

Setiap hari Ahmad Zaid selalu ikut baba dan abang-abang menunaikan Solat Fardhu di masjid, jadi dia dan abang-abang sudah pandai menyesuaikan diri solat bersama-sama.

Abang-abang pun sudah pandai menjaga adik ketika solat sehingga mendapat pujian makcik-makcik yang solat di sof belakang.

"Pandainyalah abang mengasuh adik.."


Abang-abang akan hantar Ahmad Zaid kepada mama apabila mula tazkirah selepas solat witir.

Seperti biasa kami akan bawa 1 beg khas untuk Ahmad Zaid persediaan untuk Solat Terawih.

Barang-barang yang ada dalam beg tersebut ialah:
- Kopiah Ahmad Zaid
- Sejadah kecil khas untuk Ahmad Zaid
- Sedikit makanan
- Air
-Permainan
-Pampers
-Tuala
-Baju salin
- Pensil warna
- Buku


Kesemuanya adalah barang kesukaan Ahmad Zaid.

Ahmad Zaid suka menulis di buku. Sampai baring-baring dia menulis di masjid.

Kegemaran Ahmad Zaid sekarang
Di mana-mana sahaja dia mencari pen dan kertas untuk menulis

Adakalanya tak jumpa kertas, dinding rumah pun jadi.
Aduh!

Kerana lama rasanya tidak berterawih di masjid, rasa agak terkejut dan takjub dengan bilangan jemaah terawih lelaki dan wanita yang sangat ramai hingga penuh masjid dan hingga ada yang terpaksa solat di luar.

Ingatkan hanya pada awal Ramadhan sahaja begitu, Alhamdulillah hingga akhir Ramadhan begitulah keadaan kebanyakan masjid yang kami pergi.

Alhamdulillah.

Ramai orang di masjid pada akhir Ramadhan kerana kebanyakan masjid membuat majlis khatam tadarus Al-Quran.

Walaupun Terawih boleh ditunaikan di rumah, namun saya merasakan kenikmatan dan kesyahduan Solat Terawih berjemaah di masjid tidak sama dengan solat sendirian di rumah. 

Moga ada keberkatannya, Amin.

Terawih hanya ada pada Bulan Ramadhan sahaja. 
Moga kita dapat keberkatannya.

Berkatilah Ramadhan kami dan temuikanlah kami dengan Malam Al-Qadr.

Moga kita menjadi hambaNya yang ikhlas.

Ya Rabb.



Abang-abang membantu mengasuh dan mendidik adik.

Anak Soleh ikutan orang bertaqwa.

Amin

Thursday, June 22, 2017

Sempena penghujung Ramadhan ini

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Daripada Ibnu Abbas, katanya:
“Rasulullah s.a.w. adalah yang orang sangat pemurah dan Baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan ketika Jibril menemui baginda. ”
DIRIWAYATKAN OLEH AL-BUKHARI


Bersempena dengan hari-hari Ramadhan yang makin hampir ke penghujungnya, marilah sama-sama kita mencontohi kepemurahan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Saya Amri Mohd Nason selaku Mudir Maahad Al Iman mendoakan agar tuan/puan diberkati Allah subhanahu wa taala dan dapat menunaikan ibadah Ramadhan dengan sangat baik.
Alhamdulillah, bermula pada September 2016 sehingga hari ini, Maahad Al Iman dengan bantuan masyarakat yang prihatin telah berjaya membina 2 buah asrama pelajar dan sedang menyiapkan sebuah masjid (untuk kegunaan pelajar)

Pihak Maahad Al Iman masih memerlukan kos sebanyak RM500,000 untuk meneruskan pembinaan masjid dan bangunan kelas.

Bagi tuan/puan yang ingin memberi sumbangan zakat/ wakaf/ sedekah sempena bulan Ramadhan ini, bolehlah disalurkan ke akaun:

MAYBANK MAAHAD AL IMAN LI ULUMIL QURAN
5521 8951 5745


Semoga sumbangan tuan/puan yang pemurah mendapat ganjaran yang berganda dari Allah subhanahu wa taala dan dapat membantu menyemarakkan usaha meninggikan agama Allah di dunia ini

Maahad Al Iman Li Ulumil Quran terletak di Pantai Cicar, Kuala Ketil, Kedah








Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi:
Amri Mohd Nason
0134202206


MOHON DIPANJANGKAN MESEJ INI. SEMOGA TUAN/PUAN SENTIASA DIRAHMATI ALLAH. AMIN

"Barang siapa mengajak kepada suatu kebaikan, maka ia mendapat pahala seperti orang yang mengikutinya, dengan tidak mengurangi sedikitpun pahala-pahala mereka.” (H.R. Muslim)

Untuk menonton persekitaran dan perkembangan terkini Maahad Al Iman, boleh menonton video di 

Wednesday, June 21, 2017

Tempahan Tat Telur?

بسم الله الرحمن الرحيم

"Mama, kawan adik tempah Tat Telur dengan adik. Depa suka Tat Telur yang kami buat dan bawak pi sekolah hari tu. Jom kita buat." 
Berkali-kali Abdullah mengajak membuat tat telur untuk rakan-rakannya di sekolah. 

Dua hari yang lepas sudah mereka buat tat telur, tapi dah habis pula... sedap! Alhamdulillah.

Sebelum ini mereka sudah berkali-kali membuat tat telur sendiri, cerita kali pertama mereka menghasilkan tat telur dengan sendiri dari awal penyediaan bahan hingga membersihkan dapur ada diceritakan di sini:


Abang Abbudey pula sedang tasmik Al-Quran dengan baba, jadi Abdullah meminta mama menemaninya membuat tat telur.

Ya Allah...

Kami baru sahaja pulang ke rumah selepas perjalanan lebih kurang 7 jam atas jalan. (Kenduri di Kodiang, anak-anak nak main Go.Kart di luar Stadium Alor Setar dan urusan-urusan lain.)

Kali pertama mereka boleh naik kereta go-kart dengan sendiri.

Sebelum ini terlalu kecil, kaki tak sampai.

Habis seronoklah ni sebab dapat main go kart.
Memang sekian lama tunggu nak man go-kart dan pandu
kereta sendiri.

RM10 untuk 4 pusingan.

Tapi oleh kerana tiada orang ketika itu (tengahari buta: betul-betul lepas Solat Zohor)
mereka diberikan bermain 6 pusingan.


Anak-anak ini memang banyak sungguh agenda mereka setiap hari.

Nak main basikal.

Nak masak.

Nak pi rumah tok wan.

Macam-macam lagi.

Tak kenal penat.

Abdullah pula kalau apa keinginannya, memang bersungguh-sungguh luar biasanya.

Kami bersama-sama membuat tat telur.

"Bila masak kat dapur ni, elok kita zikir banyak-banyak."

"Nak bagi makanan kita sedap ke kita kena zikir banyak-banyak ni?" Tanya Abdullah.

"Errr...."

"Mama zikir dalam hati ye?" Abdullah mencuri pandang samada mama berzikir ataupun tidak sambil dia menyapu butter pada acuan tat.

"Mama, cantiknya tat telur mama buat. " 

"Yelah, kan mama buat sambil berzikir, tu yang cantik tu. Zikir tu jadikan semua benda elok dan cantik. Zikir tu penyelamat. Macam cerita Nabi Yunus yang kena makan dengan ikan paus. Allah selamatkan Nabi Yunus sebab dia banyak berzikirlah."

Dibacakan ayat al-quran yang telah mereka hafal:

Maksudnya:
(( Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang banyak mengingati ALLAH.
Nescaya dia akan tetap tinggal di dalam perut ikan itu hingga sampai hari berbangkit.))

Surah As-Soffat: ayat 143-144

Alhamdulillah saat yang indah bersama anak-anak.

Semoga ia membentuk mereka menjadi pejuang Islam yang berilmu, banyak mengingati ALLAH dan dekat denganNya.

Amin.

Sunday, June 18, 2017

Info Buku: CAMP DE CALAIS. Satu Ranah Seribu Kisah

بسم الله الرحمن الرحيم

Buku ini memang ada auranya yang tersendiri.

Melalui kaver bukunya sahaja, sudah menarik hati untuk membacanya.


Membaca buku ini memberi banyak 'rasa':

1- Rasa kasihan dengan nasib pelarian

2- Rasa takut jika diuji Allah dengan ujian sedemikian. Moga nikmat keamaanan berpanjangan dan kita tidak leka dengan keamaan dari mengingati ALLAH, amin




3- Rasa bersyukur dengan nikmat Allah yang menggunung yang diberikan. Moga kita dapat gunakannya dengan baik dan memanjangkannya dengan memberi manfaat kepada orang lain.

4- Rasa teruja dengan kegigihan para sukarelawan yang ikhlas membantu walaupun adakalanya tidak dihargai selepas berpenat lelah





Keistimewaan buku ini:

1- Bahasa yang mudah

2- Penuh dengan gambar yang menarik menjelaskan lagi suasana kisah yang berlaku.



3- Berwarna penuh

4- Menekan kepentingan ibadah dalam hidup muslim


5- Penuh dengan kisah-kisah menarik dan menggerunkan  yang berlaku di kem pelarian tersebut.

6- Membuka minda kita tentang kehidupan pelarian dan sukarelwan yang penuh cabaran setiap hari.



Selamat membaca

Thursday, June 15, 2017

Kisah tahnik

بسم الله الرحمن الرحيم

"MasyaAllah, sudah besar." Itulah kata Sheikh Nuruddin ketika kami bawa Ahmad Zaid berjumpa dengan sheikh di Maahad An Nour, di Janda Baik.
Boleh baca di sini:
Ahmad Zaid berjumpa dengan Sheikh Nuruddin

Sheikh pernah tahnik Ahmad Zaid ketika Ahmad Zaid baby dulu.
Ahmad Zaid ketika ditahnik oleh Sheikh Nuruddin

Dalam perjalanan pulang ke Kedah, Abdullah bertanya membuka cerita:
"Kenapa baba tak bagi Sheikh Nuruddin tahnik adik (Abdullah) dulu?"Abdullah agak cemburu apabila Sheikh Nuruddin mengingati dan tahnik Ahmad Zaid ketika baby dulu.

Sheikh Samir (berjubah putih) dahulunya tahnikkan Abang Abbudey 

"Waktu tu sheikh tak ada di Malaysia lagi"

"Sheikh Muwaffaq? Sheikh Ali As Sobuni? Sheikh Mustafa Bugho?" Abdullah inginkan kepastian samada ada sheikh-sheikh lain yang tahnikkannya dahulu.
Bersama Sheikh Subaini

Bersama Sheikh Mahmoud Dahla


"Adik, dulu tak ada pun sheikh-sheikh yang datang Malaysia. Bila perang di Syria, baru ramai sheikh yang datang Malaysia. Tak apalah. Kan adik dah jumpa ramai sheikh masa adik kecik. Ramai sheikh yang doakan adik."

Bersama Sheikh Muwaffaq



Bersama Ustaz Azhar Idrus

Bersama Sheikh Kuraiyyim Rajih

Alhamdulillah beruntungnya kita sekarang apabila ramai ulamak besar antarabangsa yang orang soleh yang datang ke Malaysia. Rebutlah peluang ini dengan berbakti kepada mereka dan menuntut ilmu dari mereka.



Bersama Sheikh Mustofa Bugho

Ketika saringan Program Tijan An Nur

Allah berilah manfaat yang banyak dan keberkatan kepada kita dengan mendampingi pewaris Nabi dan orang-orang soleh.

Amin Ya Rabb.

Wednesday, June 14, 2017

Inspirasi: Tarbiyyah dari ibu ayah Syahid,Si Bintang Syurga

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam sebulan dua ini kisah tentang kehidupan Adik Muhammad Syahid Bin Bazli Hazwan UNIC yang menderita sakit kanser Lymphoma menjadi viral di seluruh Malaysia.

Siapa yang mengikuti dan menonton video tentang Adik Syahid ini pasti akan menitiskan air mata.

Kasihan amat sangat apabila melihat adik sekecil usia 3 tahun yang terlantar kesakitan.

Satu sudut yang ingin diambil perhatian yang mungkin tidak ramai yang mengulas tentangnya ialah tentang tarbiyyah ibu ayah yang bersungguh-sungguh mendidik anak-anak dengan Al-Quran.

Allah...






Sungguh menyentuh hati dan memberi inspirasi kepada diri ini.

Semoga ia turut memberi inspirasi dan teladan kepada seluruh masyarakat.


Satu petikan video yang memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjadikan Al-Quran sebagai sahabat baik.

Ya Allah jadikanlah Al-Quran ini taman di dalam hati kami,
cahaya di dalam dada kami dan
penawar bagi kesedihan dan kegelisahan kami

Senaskhah Al-Quran dan bacaannya yang menjadi penawar tika gusar, penyembuh kepada penderitaan dan penenang hati yang penat.

Walaupun dalam kesibukan tugasan, si ayah masih ada masa meluangkan masa membaca Al-Quran bersama anak.

Kebolehan anak menyambung bacaan Al-Quran ayahnya dengan mudah bukanlah satu kemahiran yang bukan boleh didapati dalam sehari dua.

Ia pasti mengambil masa yang panjang untuk menjadikannya sebagai satu kebiasaan.!

Jadikanlah Al-Quran sahabatmu
Ini memberi maksud bahawa anak ini dididik oleh ibu ayahnya untuk sentiasa bersama Al-Quran.



Tahniah kepada ibu ayahnya yang menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat untuk mendidik anak-anak menjadikan AL-Quran sahabat karib dalam setiap ketika hatta ketika terlantar sakit di hospital.



Allah...


Sungguh ia satu kejayaan tarbiyyah yang besar yang perlu dipaparkan kepada masyarakat agar dapat dicontohi dan diteladani.

Keberkatan dan rahmat Allah bagi kalian sekeluarga.


Tenanglah dikau disisiNya

Monday, June 12, 2017

Kartun yang sentap

بسم الله الرحمن الرحيم

Saya pernah melihat kartun ini beberapa ketika yang lalu.

Ia adalah lukisan kartun yang 'sentap' dan membuatkan diri memuhasabahkan semula usaha tarbiha kita kepada anak-anak dan setkan betul-betul dalam fikiran bahawa kami perlu lakukan perubahan.

Anak-anak memang sering ikut abah mereka ke masjid untuk solat fardhu, namun untuk Solat Subuh di masjid agak sukar untuk mengejutkan dari tidur dan ke masjid untuk bersolat subuh (setahun yang lalu). 

Jarang-jarang mereka menunaikan Solat Subuh di Masjid

Ketika itu mereka sering Solat Subuh di rumah sahaja.

Setelah terlihat kartun ini dan merasa sentap, kami merancang bahawa MESTI mengejutkan anak-anak bersolat subuh di masjid.

Walaupun mereka sedang sedap tidur dan masih kecil, namun itu mesti dipaksa dan dikejutkan mereka untuk mereka bersolat Subuh di Masjid.

Alhamdulillah, sekarang hampir setiap hari mereka solat Subuh di Masjid.

Kejutkan mereka sebelum subuh dan segera ke Masjid untuk solat subuh berjemaah.

Alah bisa tegal biasa.

Mungkin pada awalnya agak sukar. Anak-anak pun merengek masih mengantuk. Namun lama kelamaan ia menjadi mudah, ALhamdulillah.

"Kenapa Baba selalu Solat Tahajjud dan baca quran lama sebelum subuh?" Pemerhatian Abbudey kepada ibadah baba yang menjadi tanda tanya dalam dirinya.

Doa setulus hati moga pemerhatian ini menjadi teladan dan ikutan kepada anak-anak. Amin.

Teringat begitu juga kenangan saya pada masa lampau yang sering melihat mak, abah, datuk, nenek di kampung, malahan ibu dan ayah mertua yang setiap hari mendirikan Solat Tahajjud.

MasyaALLAH. Mereka memang rajin mendirikan ibadah malam.


Saya tunjuk dan bacakan kepada anak-anak kartun ini.

"Sebab tulah kalau nak ajar anak-anak buat apa-apa, kena ajar masa kecik. Kalau masa kecik tak ajar baca Al-Quran, dah besar tak boleh baca. Kalau masa kecik tak ajar solat kat masjid, dah besar tak mau solat. Kalau tak ajar puasa, dah besar tak mau puasa.  Kalau masa kecik tak ajar akhlak mulia, cakap perkataan yang elok, dah besar tak boleh nak berakhlak mulia."

"Mama, Ahmad Zaid (1 tahun) dah pi masjid kan?" Soalan sekadar meyakinkan dirinya sendiri dari Abang Abbudey. Mungkin dengan harapan adiknya mudah pergi ke Masjid bila dewasa nanti.

Jadikanlah kami ikutan bagi orang yang bertaqwa.

Amin

Friday, June 9, 2017

Mini Cameron?

بسم الله الرحمن الرحيم

21/3/2016

Kami tidak pernah tahu tentang Mini Cameron ini dan kami tidak pula merancang untuk ke sana.

Mini Cameron ini adalah seperti kedai-kedai di Cameron Highland namun dalam saiz yang lebih kecil, sudah namanya pun Mini Cameron.

Terletak di jalan turun dari Genting Highland.

3 hero kami!

Macammana kami boleh sampai ke sana?

Google Map menunjukkan jalan dari Highway ke Pondok Sheikh Nuruddin Marbu Albanjari di Janda Baik melalui jalan tersebut.

Cuak juga kami apabila melalui jalan menghala ke Genting Highland.

 KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT LEBIH LAGI ENTRI TENTANG TEMPAT-TEMPAT MENARIK YANG PATUT DILAWATI


Daun salad di belakang itu nampak sedap sahaja.
Tapi tak beli pun

Perancangan untuk ke Pondok An Nour juga tidaklah dibuat dari awal. Sehari sebelum ke Kuala Lumpur, barulah terfikir untuk ke Maahad An Nour.

Malahan tempahan hotel yang telah dibuat juga ditangguh ke masa hadapan supaya wang yang telah dibayar tidak hangus (setelah dipelawa untuk bermalam di Pondok Sheikh Nuruddin walaupun tujuan asal kami hanya ingin menziarahi pondok Sheikh Nuruddin).
Memetik Strawberi.

yang di tangan Ahmad itu pun kami beli.

Bukan petik-petik sahaja.

Bila 'dapat' kaki

"Baba, apa kata kita pergi ke Pondok Sheikh Nuruddin."

"Boleh jugak, depa kata atas sikit ja dari Gombak. Nanti baba tanya kawan baba (pengurus Sheikh Nuruddin) sheikh ada tak di pondok esok?"

Akhirnya keputusan yang diambil ialah bermalam di sana untuk berjumpa dengan Sheikh Nuruddin yang berkelapangan pada keesokkan harinya sebelum beliau terbang ke Indonesia.

Ia adalah satu bonus yang Allah berikan!

Semuanya telah diceritakan dalam entri yang sebelum ini:
http://cinta-rasul.blogspot.com/2017/06/peluang-bersama-tokoh-ulamak-dan-orang.html

Berbalik kepada cerita Mini Cameron.

Apabila melalui Mini Cameron Highland, anak-anak teringin nak turun tengok kedai-kedai di sana.

Baba membenarkan anak-anak melakukan aktiviti memetik buah strawberi dengan harga rm8 bagi 100 gram. Biar anak-anak ada pengalaman. Lagipun kami sangat jarang pergi ke Cameron Highland.

Pergi ke Cameron Highland pun tak tahu nak buat aktiviti apa.

Inilah pengalaman pertama memetik Buah Strawberi.

Alhamdulillah

Tuesday, June 6, 2017

Persekitaran yang soleh

بسم الله الرحمن الرحيم


Ketika berada sehari semalam di Pondok An Nour Sheikh Nuruddin Marbu Albanjari di Janda Baik dengan suasana yang sentiasa dengan zikir yang panjang-panjang, kita akan merasakan aura suasana tersebut.
(Baca entri di sini: 
http://cinta-rasul.blogspot.com/2017/06/peluang-bersama-tokoh-ulamak-dan-orang.html )

Terasa muhasabah diri yang kurang amal solehnya.

Kerana itu, sejak dahulu lagi, saya amat mempercayai peranan persekitaran yang soleh dapat mempengaruhi dan mengubah manusia.

Persekitaran yang soleh, baik, penuh dengan amal ibadat akan membuatkan kita turut terdorong untuk membuat amal soleh.

Begitu juga sebaliknya.


Saya sentiasa berdoa agar anak-anak sentiasa membesar dalam suasana dan persekitaran yang soleh agar mereka membesar menjadi orang yang bertaqwa.

Amin.

Saturday, June 3, 2017

Peluang bersama tokoh ulamak dan orang soleh.

بسم الله الرحمن الرحيم

- 21/3/2017

Alhamdulillah.

Cuti sekolah yang ada diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Sentiasa berdoa agar Allah jadikan masa kita sentiasa bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Alhamdulillah pada cuti sekolah bulan 3 yang lalu, Allah beri peluang masa, rezeki, kesihatan dan kelapangan untuk menziarahi Pondok An Nour, Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari, di Janda Baik, Pahang.

Sebenarnya memang sudah lama kami teringin sangat untuk menziarahi pondok tersebut apabila melihat keindahan pondok tersebut yang tular di laman sosial.



Di rumah sheikh

Sheikh meneliti Buku Anakku Super Al-Quran.
Info di sini:
http://cinta-rasul.blogspot.my/2015/12/alhamdulillah-aku-mahu-anakku-super-al.html

Abdullah tersenyum malu-malu apabila sheikh bergurau dan bertanya:
"Gambar siapa ini?"  di kulit Buku Anakku Super Al-Quran

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga peluang untuk ke sana.

Kami pernah menziarahi Pondok Sheikh Nuruddin ketika di Bogor, Indonesia 3 tahun yang lalu, namun ketika itu Sheikh tiada di sana, namun sempat berjumpa dengan zaujah sheikh. Boleh baca di sini:
Alhamdulillah bonus Allah berikan pada ziarah kali ini, sheikh berada di pondok sebelah pagi sebelum berangkat pulang ke Indonesia pada jam 10 pagi.

Kami berada di sana dari petang hari sebelumnya dan bermalam di sana.


Sheikh Nuruddin menjemput Baba dan kawan baba memberi tazkirah (selepas Subuh)
 dan bercerita tentang
pengalaman mereka bersama Sheikh Nuruddin sejak tahun 90an
di Derang, Kedah
Alhamdulillah anak-anak mendapat pengalaman baru, menambah ilmu, mengasah adab sopan di hadapan sheikh dan orang soleh.
Berjalan di kawasan pondok


Kawasan luar chalet yang bersih dan indah


Suasana pelajar (ketika kami berada di sana) di dalam pondok adalah banyak masa mereka diisi dengan majlis zikir yang panjang di surau.

MasyaAllah.

 Sungguh memberi keinsafan. Moga kita juga tergolong di kalangan orang yang SENTIASA BERZIKIR DAN MENGINGATI ALLAH.


Di situlah chalet tempat kami menginap
Speaker di sekitar pondok sentiasa dipasang jelas.

Walaupun bersama Ahmad Zaid di dalam bilik penginapan, namun majlis zikir, pengajian, solat, Qiamullail yang berlangsung di dalam surau boleh didengari dengan jelas dari speaker yang dipasang di sekitar pondok.


Di Chalet penginapan kami di dalam kawasan Maahad,

Alhamdulillah chalet yang selesa.

Dari sebelum subuh lagi, mereka qiamullail, zikir, solat subuh, zikir, tazkirah, solat dhuha dan zikir.

MasyaAllah memang panjang zikir-zikir mereka. Malahan dari selepas Maghrib hingga selepas Isyak juga mereka berterusan berzikir.

Alhamdulillah, Abdul Rahman dan Abdullah turut sama berkesempatan duduk sama dalam majlis tersebut dari Solat Subuh hingga selepas Solat Dhuha.

Pada malam sebelumnya Abdullah dan Abdullah turut mengikut baba menziarahi sheikh di rumah (dalam kawasan pondok) dan berbincang tentang pelbagai topik, meminta pandangan dan perkongsian ilmu.


Alhamdulillah juga berkesempatan bersama mendengar perbincangan di rumah sheikh
Walaupun mereka hanya mendengar dan melihat sahaja perbualan, namun insyaAllah dalam diam, mereka belajar akhlak, adab sopan dan perbincangan itu membuka minda mereka.

"Mama, adik tak tidur pun, adik tak mengantuk pun. Sheikh kata (secara umum kepada semua orang pada waktu subuh): jangan mengantuk ketika zikir, mesti zikir dengan semangat."

"Sheikh suruh (secara umum) duduk macam ni (duduk antara dua sujud) ketika zikir, kalau lenguh angkat badan, jangan tukar duduk." Cerita Abdul Rahman pula.

Alhamdulillah, sesungguhnya saya amat mengharapkan anak-anak mendapat ilmu,manfaat dan keberkatan dalam majlis bersama para ulamak dan orang soleh.

Mengucapkan selamat jalan kepada Sheikh yang akan ke Indonesia
MasyaAllah, antara butir mutiara kuliah yang dapat saya ambil dari tazkirah sheikh selepas subuh (yang didengari dari speaker dari luar bilik) ialah:

1. Pentingnya zikir dalam hidup manusia.


habis seronoklah tu
2. Peluang dapat berzikir adalah rezeki anugerah Allah yang patut disyukuri, betapa ramai orang yang lalai dari berzikir mengingati Allah.

3. Pujilah Allah, ucaplah Alhamdulillah bila Allah beri peluang kepada kita untuk melakukan amal soleh, qiamullail dan berzikir.

Alhamdulillah. Allah jadikanlah kita hamba-hambaNya yang bertaqwa dan ikutan bagi orang yang bertaqwa. AMIN.



Kenangan Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari tahnik Ahmad Zaid.
Pernah ditulis dalam entri di sini:
http://cinta-rasul.blogspot.my/2016/01/abd-rahman-abdullah-dan-ahmad-zaid.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...