Thursday, March 22, 2018

Anak-anak pembantu penenang dengan ayat Al-Quran

بسم الله الرحمن الرحيم

Beberapa kali pernah berlaku di dalam rumah kami, apabila baba tiada di rumah, Ahmad Zaid (Ketika itu hampir usia 2 tahun) tidur dalam keadaan demam panas, adakalanya dia akan terjaga terkejut, menangis menggigil dan berkata:
"Akuttt...akuttt..." sambil menunjuk-nunjuk ke arah dinding.


Ahmad Zaid ketika itu sudah pandai bercakap beberapa patah perkataan dan kami faham yang dia maksudkan ialah dia takut.



Dan seringkali juga situasi ini berlaku kepada anak-anak lain ketika sakit hatta kepada kita orang dewasa sekalipun.

Apabila demam, bila kita tidur kita akan mimpi yang pelik-pelik dan menyeramkan. Hinggakan Abdullah jika dia demam, dia takut nak tidur.

"Mama... adik tak nak tidur...Kalau adik tidur nanti, mesti adik mimpi seram." Abdullah menyuarakan ketakutannya.

"Jom kita sama-sama baca Ayat Kursi, 3 qul dan 2 ayat terakhir Surah Al-Baqarah. Lepas tu kita hembus kat tapak tangan dan sapu seluruh badan" Itulah ajaran kami kepada mereka.



Jadi, apabila Ahmad Zaid jadi begitu, saya akan panggil abang-abangnya membacakan ayat-ayat Al-Quran dan sapukan pada adik.

Jika baca beramai-ramai dan dengan suara yang kuat, kekuatan dan keberanian dalam diri kita akan lebih bertambah.

"Mama kalau takut malam-malam, takut pencuri ke apa ke, jangan lupa baca Ayat Kursi, 3 Qul dan 2 ayat Akhir Surah Al-Baqarah." Pesan Abdul Rahman yang prihatin dengan perasaan ibunya pada hari yang lain.

Semoga Allah memelihara kita semua dari sebarang perkara buruk.

Amin Ya Rabb

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...